Wellington isytihar darurat susulan banjir kilat, tanah runtuh

Bandar itu menerima taburan hujan sehingga 77 milimeter dalam tempoh satu jam, iaitu antara kadar tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah Wellington. -Foto Reuters
Pejabat Pengurusan Kecemasan Wilayah Wellington (WREMO) mengisytiharkan darurat di ibu negara New Zealand hari ini susulan hujan lebat luar biasa yang mencetuskan banjir kilat serta kejadian tanah runtuh.
Datuk Bandar Wellington dipetik berkata bandar itu menerima taburan hujan sehingga 77 milimeter dalam tempoh satu jam, iaitu antara kadar tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah Wellington.
Hujan berterusan itu menyebabkan paras sungai meningkat secara mendadak, dengan lebih 150 panggilan kecemasan diterima membabitkan kejadian banjir di kediaman serta jalan raya yang terputus hubungan.
Susulan kejadian, polis kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang individu berusia 60 tahun yang dilaporkan hilang selepas rumahnya di pinggir bandar Karori dilanda banjir dan runtuhan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perkhidmatan Meteorologi New Zealand (MetService) telah menaikkan amaran hujan ke tahap Merah bagi kawasan Wellington dan Wairarapa sehingga malam Selasa.
Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir digesa berpindah ke kawasan lebih tinggi, manakala beberapa pusat bantuan kecemasan telah dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas di sekitar Island Bay, Berhampore, Newtown, Brooklyn serta pusat bandar Wellington.
Bencana itu turut menjejaskan sektor pengangkutan apabila hampir 30 penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Wellington terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk.
Kejadian itu berlaku selepas beberapa hari cuaca tidak menentu melanda Pulau Utara, menyebabkan struktur tanah menjadi tepu dengan air dan meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh berskala lebih besar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
