Wisma Putra sahkan 70 jemaah Malaysia selamat dalam kebakaran hotel di Mekah

Semua jemaah Malaysia dilaporkan selamat selepas kebakaran di sebuah hotel di Mekah pada Khamis, menurut Kementerian Luar.
Kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan insiden itu dilaporkan berlaku sekitar 5 petang waktu tempatan pada 12 Mac di Hotel Mira Ajyad, Mekah dan maklumat awal mendapati kira-kira 70 jemaah Malaysia menginap di hotel tersebut.
Wisma Putra memaklumkan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian, kementerian menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah segera berkoordinasi dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Umrah Malaysia bagi memastikan keselamatan jemaah yang menginap di hotel tersebut.
“Maklumat awal menunjukkan bahawa kira-kira 70 orang jemaah Malaysia di bawah kelolaan TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel menginap di hotel itu.
“Ketiga-tiga agensi tersebut telah mengesahkan bahawa semua jemaah Malaysia di bawah pengurusan mereka berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut kementerian itu, pemeriksaan susulan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah kira-kira 7.20 malam waktu tempatan mendapati beberapa orang jemaah Malaysia juga dilihat berkumpul dengan selamat di sekitar kawasan hotel.
Wisma Putra memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa Arab Saudi dan setakat ini tiada petunjuk bahawa ia berpunca daripada serangan dron atau unsur sabotaj.
Atas faktor keselamatan para tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sementara siasatan serta pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Sekiranya terdapat kelewatan dalam mendapatkan kebenaran untuk kembali ke hotel, pihak pengurusan hotel bersama agensi pelancongan masing-masing akan mengatur penginapan sementara bagi tetamu yang terjejas,” katanya.
Kementerian melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau erat situasi itu serta berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Malaysia bagi memastikan keselamatan serta kebajikan jemaah Malaysia.
Wisma Putra turut menasihati jemaah Malaysia yang kini berada di Mekah supaya kekal tenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan masing-masing.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di talian +966 126 727 740 atau +966 573 099 589 atau melalui e-mel [email protected].
-- BERNAMA

