awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
SPRM syor lima penambahbaikan perkukuh tatakelola projek MyKiosk
Lima realiti ekonomi Malaysia yang sering diabaikan menurut Bank Dunia
Mekanisme SPENT beri peluang kedua bekas banduan
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

WTC2025 tindakan kolektif masa depan pelancongan

Bernama
Bernama
28/09/2025
20:45 MYT
WTC2025 tindakan kolektif masa depan pelancongan
WTC2025 yang bermula di Melaka pada Ahad bukan sekadar satu persidangan, sebaliknya tindakan kolektif terhadap masa depan pelancongan.
MELAKA: Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025) yang bermula di Melaka pada Ahad bukan sekadar satu persidangan, sebaliknya tindakan kolektif terhadap masa depan pelancongan, kata Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pemandu Pelancong Iran, Mohsen Hajisaeid.
Beliau berkata, tindakan itu dibentuk melalui nilai-nilai yang dikongsi di seluruh Asia iaitu keterangkuman, ketahanan, inovasi serta pengiktirafan bahawa pelancongan bukan sahaja berkaitan destinasi tetapi juga mengenai manusia.
"Seperti yang ditekankan dalam perbincangan, kita mesti beralih daripada pendekatan berpusatkan destinasi kepada berpusatkan manusia iaitu komuniti, pengembara dan tuan rumah diletakkan di tengah-tengah strategi kita," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Mohsen berkata, abad ke-21 sering digambarkan sebagai 'abad Asia' namun gelaran itu hanya akan membawa makna sekiranya negara-negara Asia memberikan perhatian antara satu sama lain.
Beliau berkata, rantau ini bukan sahaja perlu menjadi penyumbang kepada pelancong keluar tetapi juga sebagai sebuah rangkaian penemuan bersama, iaitu kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk mengukuhkan hubungan kemanusiaan, kefahaman budaya serta kerjasama ekonomi.
Memetik pandangan pemenang Hadiah Nobel, Amartya Sen mengenai pembangunan sebagai kebebasan, Mohsen berkata, pertumbuhan ekonomi mesti seiring dengan maruah manusia, keterangkuman serta kebebasan untuk merasai kepelbagaian budaya.
Pada masa sama, beliau menyuarakan harapan agar platform antarabangsa seperti WTC2025 dapat membantu membetulkan salah tanggapan mengenai aspek keselamatan di Iran.
"Sama seperti Kuala Lumpur, Melaka atau Pulau Pinang di Malaysia yang selamat untuk keluarga, pelajar dan pelawat, begitu juga dengan jalan-jalan di Yazd, Isfahan atau Tehran," katanya.
Beliau berkata, persidangan itu bukan sahaja perlu berfungsi sebagai platform untuk merancang masa depan pelancongan, tetapi pengiktirafan terhadap komitmen bersama untuk membina Asia yang aman, berdaya tahan dan mampan, dan perbezaan budaya serta intelektual dilihat sebagai peluang untuk kefahaman yang lebih mendalam.
"Apabila kita melihat ke hadapan, marilah kita menghayati pelancongan inklusif, pembangunan berpusatkan manusia, transformasi mampan dan ketahanan sebagai prinsip panduan," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#wtc 2025
#pelancongan
#persidangan
#keterangkuman
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan