AKPS ambil tindakan penguatkuasaan terhadap 231 kontena, nilai rampasan cecah RM36.2 juta

Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal (dua, kanan) semasa sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang hari ini. - Foto Bernama
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 231 kontena sepanjang tempoh Januari hingga Mac tahun ini, melibatkan nilai dagangan keseluruhan mencecah RM36.2 juta.
Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kesemua kontena itu dikesan melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), pematuhan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta kesalahan berkaitan cukai dikendalikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Secara keseluruhan, AKPS telah mengenakan tindakan penguatkuasaan dari Januari hingga Mac melibatkan 231 kontena dengan nilai keseluruhan RM36,243,214.11.
"Berdasarkan jumlah nilai keseluruhan, pada Februari lepas merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM18.9 juta berbanding Januari (RM8.8 juta) dan Mac (RM8.4 juta)," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara, di sini hari ini.
Beliau berkata kes melibatkan MAQIS mencatat nilai tertinggi iaitu RM18.89 juta, diikuti KKM (RM11.24 juta) dan JKDM (RM5.95 juta).
Selain itu, Nik Ezanee berkata peningkatan kes sepanjang Februari tahun ini, dipercayai akibat beberapa faktor penyumbang termasuk peningkatan aktiviti import ketika musim perayaan.
"Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai trend peningkatan memandangkan AKPS merupakan agensi yang masih baharu dan kekurangan data perbandingan tahun sebelumnya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Ezanee berkata 15 kontena sisa elektronik (e-sisa) telah dihantar keluar pada 8 pagi tadi hasil kerjasama JKDM, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan SIRIM.
“Dijangka menjelang akhir bulan ini, kira-kira 150 kontena lagi akan dihantar keluar dari negara ini menjadikan sekitar 803 kontena telah diambil tindakan melibatkan e-sisa dan bahan buangan terlarang secara keseluruhan," katanya.
Sementara itu, Nik Ezanee memaklumkan pihaknya telah menumpaskan sindiket dipercayai menyalahgunakan sijil halal dan dokumen kesihatan meragukan bagi menyeludup masuk ayam serta itik sejuk beku seberat 187.8 tan ke negara ini.
Beliau berkata rampasan itu membabitkan tujuh kontena yang diperiksa hasil maklumat orang awam serta risikan pada 9 April lepas.
"Semakan awal mendapati dokumen dikemukakan tidak selaras termasuk penggunaan nama syarikat disyaki tidak wujud serta percanggahan maklumat penghantaran," katanya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati dokumen import tidak sepadan membabitkan invois, senarai pembungkusan dan notis penghantaran manakala sijil halal serta dokumen kesihatan yang disertakan turut meragukan dan disyaki palsu.
“Dokumen yang disemak kebanyakannya daripada syarikat palsu dengan nilai dagangan mencecah RM1,062,000. Ketidakpadanan dikesan antara invois, senarai pembungkusan dan notis penghantaran termasuk perbezaan nombor siri dokumen.
“Kesemua kontena ditahan dan diserahkan kepada MAQIS untuk siasatan serta tindakan seterusnya,” katanya.
Dalam kes berasingan, beliau memaklumkan pihaknya turut menahan sebuah kontena mengandungi daging babi sejuk beku dari Australia seberat 25 tan dengan nilai RM204,000 dan telah diserahkan kepada MAQIS untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

