Had umur 16 tahun: Perlukah kawal akses media sosial?
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Mohamed Fadzil Che Din berkata usia 16 tahun merupakan fasa kritikal dalam pembinaan identiti diri seseorang individu.
CADANGAN menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial di Malaysia kini menjadi perbincangan hangat, susulan usaha kerajaan memperkukuh perlindungan terhadap golongan muda dalam persekitaran digital.
Langkah itu dilihat sebagai pendekatan proaktif dalam menangani risiko pendedahan awal, namun pada masa sama menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan antara perlindungan, akses maklumat dan pembangunan digital remaja.
Dalam era digital hari ini, media sosial bukan lagi sekadar medium komunikasi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran, pembentukan identiti dan perkembangan psikososial golongan muda.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Mohamed Fadzil Che Din berkata usia 16 tahun merupakan fasa kritikal dalam pembinaan identiti diri seseorang individu.
Menurutnya, tempoh remaja khususnya antara usia 12 hingga 18 tahun adalah peringkat penting bagi individu membentuk nilai kendiri, potensi diri serta memahami kedudukan mereka dalam keluarga dan masyarakat.
“Umur 16 tahun ini berada di tengah-tengah fasa remaja di mana individu mula membina identiti diri, nilai kendiri dan arah hidup mereka, dan jika proses ini gagal, ia boleh menyebabkan individu berasa rendah diri, resah dan kurang keyakinan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pada peringkat ini, kematangan kognitif dan emosi masih berkembang, sekali gus menjadikan remaja lebih terdedah kepada pengaruh luar termasuk persekitaran digital.
Tambahnya, algoritma media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk corak pemikiran dan tingkah laku pengguna, khususnya dalam kalangan remaja yang masih dalam proses mengenali diri.
Menurut beliau, sistem algoritma direka untuk menyesuaikan kandungan berdasarkan minat pengguna, namun keadaan itu boleh menyebabkan pendedahan berulang kepada maklumat tertentu sehingga membentuk persepsi dan kecenderungan yang sempit.
“Algoritma akan melihat apa yang kita suka dan akan terus membekalkan kandungan yang sama, dan jika tidak dikawal, individu boleh terperangkap dalam kitaran kandungan yang akhirnya mempengaruhi pemikiran, emosi dan tingkah laku mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, pendedahan berlebihan itu berpotensi membawa kepada ketagihan serta pembentukan personaliti yang tidak seimbang jika tidak dipantau dengan baik.
Namun begitu, Mohamed Fadzil menegaskan media sosial tidak harus dilihat sebagai ancaman sepenuhnya, sebaliknya perlu digunakan secara seimbang dan terkawal.
Katanya, pendekatan terbaik adalah dengan mendidik pengguna muda agar memahami cara penggunaan yang betul, termasuk mengelakkan penggunaan berlebihan atau penyalahgunaan platform.
“Penggunaan media sosial perlu dikawal supaya tidak berlaku overuse, misuse atau abuse, kerana semua ini boleh memberi kesan negatif termasuk gangguan tidur, tingkah laku agresif dan penyalahgunaan platform untuk tujuan tidak sihat,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa media sosial juga berfungsi sebagai alat pendidikan moden yang mampu memberi manfaat sekiranya digunakan dengan betul.
Menurutnya, akses kepada maklumat global melalui platform digital membolehkan kanak-kanak mempelajari pelbagai kemahiran termasuk bahasa dan ilmu baharu, namun perlu disertai bimbingan yang berterusan.
“Media sosial adalah alat pembelajaran yang sangat kuat hari ini, tetapi ia bergantung kepada bagaimana ia digunakan, dan di sinilah peranan ibu bapa sangat penting dalam membimbing anak-anak,” katanya.
Dalam konteks itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan kawal selia tidak boleh bergantung kepada sekatan semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan pendidikan digital dan pemantauan berterusan oleh ibu bapa serta komuniti.
Sementara itu, cadangan had umur 16 tahun dijangka dilaksanakan seawal separuh kedua tahun ini melalui fasa regulatory sandbox, selaras dengan pendekatan berperingkat yang menilai keberkesanan dasar sebelum penguatkuasaan penuh.
Kerajaan juga mempertimbangkan penggunaan sistem pengesahan identiti digital seperti Age Verification bagi memastikan ketepatan pengesahan umur pengguna dalam talian.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzil berkata sebarang pelaksanaan dasar perlu disertai garis panduan yang jelas bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
“Jika mahu melaksanakan had umur ini, peraturan dan garis panduan mesti jelas termasuk bagaimana penggunaan dibenarkan, dalam situasi apa ia boleh digunakan dan bagaimana pemantauan dilakukan,” katanya.
Beliau menambah, kejelasan dasar amat penting bagi memastikan pelaksanaan tidak menjejaskan keperluan sebenar pengguna, termasuk dalam aspek pendidikan dan sokongan keluarga.
“Penggunaan media sosial hari ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga melibatkan pembelajaran dan keperluan harian, jadi pelaksanaan dasar perlu mengambil kira semua aspek tersebut,” tambahnya.
Sehubungan itu, pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kawal selia, pendidikan dan sokongan sosial dilihat sebagai langkah paling seimbang dalam memastikan kesejahteraan digital generasi muda di Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

