IEA jangka pengeluaran minyak global 2026 merudum 1.54 juta tong sehari - Laporan

IEA juga menjangkakan aktiviti penapisan minyak akan berkurangan sebanyak satu juta bpd kepada 82.9 juta bpd pada 2026 berikutan situasi konflik di Asia Barat. - Gambar fail
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menjangkakan penurunan dalam pengeluaran minyak global sebanyak 1.54 juta tong sehari (bpd) kepada 104.67 juta bpd pada 2026, berbanding jangkaan peningkatan sebelum ini, menurut laporan terbaharunya pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Berdasarkan laporan Mac, agensi itu sebelum ini menjangkakan pengeluaran bagi tahun 2026 meningkat sebanyak 1.11 juta bpd kepada 107.23 juta bpd.
IEA juga menjangkakan aktiviti penapisan minyak akan berkurangan sebanyak satu juta bpd kepada 82.9 juta bpd pada 2026 berikutan situasi konflik di Asia Barat.
"Pada April, loji penapisan di Asia Barat dan Asia yang mengalami kekangan bahan mentah telah mengurangkan operasi sekitar enam juta bpd kepada 77.2 juta bpd.
"Operasi minyak mentah global kini dijangka menurun secara purata sebanyak satu juta bpd pada 2026 kepada 82.9 juta bpd. Margin penapisan melonjak buat sementara waktu apabila perbezaan harga sulingan tengah mencapai paras tertinggi dalam sejarah," menurut laporan itu.
Lapan negara OPEC+ yang melaksanakan sekatan sukarela telah mengurangkan pengeluaran minyak pada Mac sebanyak 8.01 juta bpd kepada 25.02 juta tong, iaitu 7.5 juta bpd di bawah paras kuota yang ditetapkan, katanya.
Jumlah pengeluaran minyak melibatkan Rusia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq, Algeria, Kuwait, Kazakhstan dan Oman pada Mac berjumlah 25.02 juta bpd berbanding 33.03 juta bpd pada Februari.
Pada masa yang sama, menurut IEA, dengan mengambil kira kuota semasa, baki sekatan sukarela dan jadual pampasan, sasaran bagi lapan negara berkenaan adalah 32.52 juta bpd.
"Bekalan minyak mentah OPEC+ menjunam sebanyak 8.1 juta bpd pada Mac kepada 35.2 juta bpd berikutan pengeluaran minyak Teluk OPEC, tidak termasuk Qatar, merosot mendadak sebanyak 8.9 juta bpd akibat penutupan berterusan Selat Hormuz dan serangan berlarutan ke atas infrastruktur minyak," menurut laporan itu.
IEA turut menurunkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak global bagi 2026 sebanyak 80,000 bpd dan kini menjangkakan permintaan berada pada paras 104.259 juta bpd, kata organisasi itu dalam laporan terbaharunya pada Selasa.
"Perang Iran telah mengubah sepenuhnya tinjauan global bagi penggunaan minyak, dengan permintaan di seluruh dunia kini dijangka mengalami penguncupan berbanding pertumbuhan. Permintaan diunjur menurun sebanyak 80,000 bpd tahun ke tahun pada 2026," katanya.
Menurut data yang dikemas kini, permintaan dijangka berkurangan sebanyak 80,000 bpd tahun ini kepada 104.259 juta bpd.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

