Indonesia mampu harung kejutan harga minyak Asia Barat hingga hujung tahun - Menteri

Indonesia mampu bertahan daripada impak ekonomi akibat lonjakan harga minyak yang didorong oleh konflik di Asia Barat sehingga 10 bulan tanpa perlu memotong subsidi bahan api, kata Airlangga Hartarto.
Indonesia mampu bertahan daripada impak ekonomi akibat lonjakan harga minyak yang didorong oleh konflik di Asia Barat sehingga 10 bulan tanpa perlu memotong subsidi bahan api, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto pada Isnin, lapor Xinhua.
Airlangga memaklumkan media asing, di sini, subsidi bagi diesel dan bahan api lain akan diteruskan sehingga akhir tahun 2026, memandangkan kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung kos berkenaan.
Harga minyak mentah dunia telah meningkat melebihi US$100 setong sejak serangan ke atas Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel pada akhir Februari lepas, yang secara berkesan telah mengganggu laluan di Selat Hormuz.
Sebagai negara pengimport bersih minyak, Indonesia memberikan subsidi besar kepada bahan api domestik bagi mengekalkan kestabilan ekonomi, mengawal inflasi serta melindungi kuasa beli isi rumah berpendapatan rendah daripada ketidaktentuan harga minyak global.
Belanjawan 2026 sebelum ini mengandaikan harga minyak global pada US$70 setong, dengan setiap kenaikan US$1 akan menambah kira-kira 6.8 bilion rupiah Indonesia (kira-kira US$506,000) kepada perbelanjaan negara.
Menurut menteri itu lagi, Indonesia mengimport kira-kira 20 hingga 25 peratus minyaknya dari Asia Barat, namun kini sedang meneroka sumber alternatif lain.
-- BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

