awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Krisis tenaga: Pelaksanaan Biodiesel B15 penyelesaian paling praktikal - PM Anwar
Tiada pelanggaran SOP dalam operasi iring banduan - Jabatan Penjara Malaysia
IMF semak naik unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia kepada 4.7 peratus bagi 2026
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

AS, Indonesia meterai rangka kerja baharu kerjasama pertahanan

Bernama
Bernama
14/04/2026
04:33 MYT
AS, Indonesia meterai rangka kerja baharu kerjasama pertahanan
Mesyuarat dua hala antara Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth dan Menteri Pertahanan Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin di Washington pada 13 April. - Foto Pentagon
Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia menubuhkan Major Defence Cooperation Partnership (MDCP), menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan pertahanan dua hala yang dibina berasaskan kerjasama selama beberapa dekad.
Menurut kenyataan bersama yang disiarkan Jabatan Perang AS, MDCP itu menyusuli mesyuarat dua hala antara Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth dan Menteri Pertahanan Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin di Washington pada 13 April.
“Pengumuman ini mencerminkan peranan penting Indonesia dalam mempromosikan kestabilan serantau dan menyerlahkan kekuatan serta potensi hubungan pertahanan dua hala,” menurut kenyataan itu.
MDCP akan berfungsi sebagai rangka kerja panduan untuk memajukan kerjasama pertahanan dua hala, dengan kedua-dua negara menegaskan semula komitmen bersama mereka untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa perkongsian berkenaan berteraskan tiga tonggak utama yang dilaksanakan berasaskan saling menghormati dan kedaulatan negara, iaitu pemodenan ketenteraan dan pembinaan keupayaan, latihan serta pendidikan ketenteraan profesional dan latihan ketenteraan bersama serta kerjasama operasi.
Di bawah rangka kerja itu, kedua-dua negara akan meneroka inisiatif canggih yang dipersetujui bersama, termasuk membangunkan bersama keupayaan asimetri berteknologi tinggi, meneroka teknologi pertahanan generasi baharu merentasi domain maritim, bawah permukaan dan sistem autonomi, serta meningkatkan kerjasama dalam sokongan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi.
“Sebagai lambang perkongsian yang dipertingkat ini, dan mencerminkan kepercayaan mendalam antara kedua-dua negara, kedua-dua pemimpin turut komited untuk meningkatkan latihan bersama pasukan khas.
“Kerjasama ini akan memajukan kepentingan keselamatan bersama dan membina ikatan yang lebih kukuh serta berdaya tahan antara anggota perkhidmatan AS dan Indonesia menerusi peluasan peluang dalam pendidikan ketenteraan profesional bertaraf tinggi serta pewujudan jaringan alumni pertahanan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyifatkan perkongsian berkenaan mencerminkan perkembangan berterusan hubungan pertahanan dua hala AS-Indonesia yang dibina berasaskan kerjasama selama beberapa dekad.
Kedua-dua negara mengiktiraf satu sama lain sebagai rakan penting dan menegaskan semula komitmen terhadap kerjasama berasaskan saling menghormati, kedaulatan dan kepentingan bersama dalam keamanan serta kestabilan serantau.
Kementerian Pertahanan Indonesia dan Jabatan Perang AS berkata mereka menantikan usaha memperkukuh perkongsian sedia ada dan melabur dalam kerjasama yang lebih mendalam di bawah rangka kerja MDCP.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Indonesia
#AS
#pertahanan
#kerjasama
#Hegseth
#Sjafrie
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan