Iran pertimbang kenakan caj laluan di Selat Hormuz - Duta

Kazem Jalali berkata perincian mengenai perkara itu masih belum dimuktamadkan, namun menyatakan parlimen Iran sedang membangunkan pelbagai pilihan berhubung isu berkenaan. - Reuters
Iran sedang menimbangkan untuk memperkenalkan caj tol bagi kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, sambil berusaha memastikan laluan selamat di perairan itu, kata Duta Iran ke Rusia, Kazem Jalali, lapor Xinhua.
Dalam satu temu bual dengan akhbar Rusia, Vedomosti yang diterbitkan pada Isnin, Jalali berkata perincian mengenai perkara itu masih belum dimuktamadkan, namun menyatakan parlimen Iran sedang membangunkan pelbagai pilihan berhubung isu berkenaan.
Jalali berkata Iran telah memaklumkan kepada negara-negara lain mengenai kerangka undang-undang baharu yang mengawal laluan strategik itu lebih awal, dan dalam tempoh 50 hari lepas, pihak berkuasa republik itu "telah menggariskan semua objektif dan isu berkaitan dengan jelas."
Pasukan Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan pada Sabtu bahawa Selat Hormuz telah ditutup sejak petang Sabtu dan tidak akan dibuka sehingga Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan maritim di laluan terbabit.
IRGC berkata tindakan itu diambil selepas AS melanggar komitmennya di bawah gencatan senjata dua minggu yang berkuat kuasa pada 8 April, selain kegagalan negara itu untuk menamatkan sekatan maritim terhadap kapal dan pelabuhan Iran.
-- BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

