Konflik Asia Barat: Pakistan perlu lebih tegas dalam rundingan kedua Iran-AS

Pakistan perlu mengenal pasti perkara utama yang dikemukakan Iran, termasuk membezakan isu yang tidak boleh dirunding dan yang masih boleh dibincangkan - Foto/Fail
Pakistan disaran tampil lebih tegas dalam pusingan rundingan seterusnya melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan usaha damai dapat dicapai dengan lebih berkesan.
Pakar Hubungan Antarabangsa Universiti Padjadjaran, Dr. Teuku Rezasyah, berkata rundingan pertama gagal disebabkan ketidakseimbangan dari segi wakil yang terlibat.
Menurut beliau, delegasi Iran dilihat mempunyai kelayakan tinggi, manakala wakil AS lebih cenderung daripada latar belakang perniagaan.
“Ketidakseimbangan ini menyumbang kepada kegagalan rundingan awal. Namun, Pakistan dilihat telah mengambil langkah proaktif dengan menghantar wakil ke Tehran serta berhubung dengan tokoh di AS,” katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Isnin.
Beliau berharap Pakistan kini hadir dengan pelan tindakan atau “blueprint” yang jelas bagi memandu rundingan seterusnya.
Tambahnya, Pakistan perlu mengenal pasti perkara utama yang dikemukakan Iran, termasuk membezakan isu yang tidak boleh dirunding dan yang masih boleh dibincangkan.
“Perkara ini perlu dimaklumkan lebih awal kepada kedua-dua pihak supaya jelas sama ada mereka benar-benar menyokong usaha damai atau sebaliknya,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Pakistan juga perlu berperanan mengawal gangguan luar, termasuk daripada tokoh politik seperti Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Katanya, campur tangan pihak luar boleh menjejaskan kelancaran rundingan, apatah lagi apabila delegasi AS didakwa tidak mempunyai mandat penuh dan sering menerima pengaruh luar.
"Kalau delegasi Iran itu mendapat mandate penuh daripada pemerintah Iran. Tetapi kalau pasukan AS ini belum tentu mendapat mandate penuh dari White House, dan juga seringkali ada pesanan-pesanan daripada Israel. Di sinilah Pakistan harus sangat tegas," katanya.
Beliau turut berharap rundingan tahap kedua dapat berlangsung tanpa sebarang gangguan seperti serangan, ancaman atau tindakan terhadap fasiliti di Iran, Lubnan dan Gaza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

