Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut dipercayai didera keluarga angkat

Polis menahan tiga suspek termasuk dua lelaki dan seorang wanita yang merupakan keluarga angkat kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut semalam, dipercayai akibat didera keluarga angkat. - Foto Bernama
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera keluarga angkatnya di Kampung Banggol Katong di sini semalam.
Susulan itu, polis telah menahan tiga ahli keluarga angkat mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong, di Marang pada 3.46 petang, memaklumkan menerima seorang pesakit kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan beberapa kesan kecederaan.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia selepas hasil pemeriksaan mendapati tiada pernafasan, tiada bacaan oksigen, tiada reaksi anak mata dan tiada degupan jantung.
"Pemeriksaan fizikal juga mendapati terdapat kesan lebam dan luka di bahagian dada kiri, paha kiri dan kanan mangsa. Selain itu, bahagian betis kanan mangsa juga terdapat beberapa gelembung air yang menunjukkan kemungkinan jangkitan kuman.
“Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan komplikasi iskemia anggota badan akut. Kecederaan patah tulang paha yang menekan otot serta salur darah utama menyebabkan komplikasi teruk apabila tidak diberi rawatan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini..
Azli berkata hasil siasatan juga mendapati mangsa telah tinggal dengan keluarga angkat berkenaan sejak tiga bulan lepas.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman enam hari hingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh dua puluh tahun atau kedua-duanya sekali.
"Hasil ujian urin mendapati seorang daripada suspek iaitu bapa angkat mangsa positif dadah jenis methamphetamine, selain memiliki 11 rekod jenayah lampau,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

