Konflik Asia Barat: Iran bertegas kawal Selat Hormuz, laluan hanya untuk kapal ‘bukan musuh'

Iran terus mengekalkan pendiriannya untuk mengawal sepenuhnya pergerakan kapal di Selat Hormuz. - Gambar Reuters
Iran terus mengekalkan pendiriannya untuk mengawal sepenuhnya pergerakan kapal di Selat Hormuz, salah satu laluan perkapalan paling kritikal di dunia, dengan hanya membenarkan kapal yang dianggap “tidak bermusuhan” untuk transit selagi mereka berkoordinasi dengan pihak berkuasa Tehran.
Perkara itu dinyatakan menerusi surat rasmi Iran kepada negara‑negara anggota Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
Dalam surat tersebut, Iran menegaskan, kapal asing boleh melalui Selat Hormuz dengan syarat mereka mematuhi peraturan keselamatan yang telah diumumkan dan tidak terlibat dalam sebarang bentuk sokongan kepada tindakan agresif terhadap negara itu.
Iran menambah, kapal-kapal yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat, Israel atau pihak yang terlibat dalam konflik semasa tidak layak untuk laluan.
Data penjejakan kapal dalam beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan bahawa Iran telah membenarkan sebilangan kecil kapal untuk transit menggunakan laluan di dalam wilayah perairannya, termasuk kapal dari China, India dan Pakistan.
Laluan ini sering digunakan bagi membolehkan pihak berkuasa Iran mengesahkan identiti dan tujuan kapal sebelum mereka dibenarkan melintas, menurut penganalisis maritim.
Ekoran risiko serangan dan ketegangan di perairan sempit berhampiran Oman, banyak kapal komersial kini mengubah perjalanan mereka ke laluan yang lebih hampir dengan pantai Iran, termasuk kawasan sekitar Pulau Larak.
Langkah itu memberi Iran kelebihan pemantauan selain mengukuhkan kawalannya terhadap trafik maritim di laluan strategik tersebut.
Krisis di Selat Hormuz memuncak selepas serangan AS‑Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu, menyebabkan trafik perkapalan hampir terhenti dan bekalan minyak global terjejas.
Selat Hormuz sebelum ini menguruskan sekitar satu perlima bekalan minyak dunia.
Dengan kenaikan kos penghantaran dan harga minyak global, Iran kini cuba menyeimbangkan kepentingan ekonominya sambil mengekalkan tekanan terhadap pihak yang dianggap musuh.
Akses bebas pelayaran di Selat Hormuz juga menjadi salah satu perkara utama dalam pelan damai 15 perkara yang dibangunkan Amerika Syarikat dan dihantar kepada Iran melalui Pakistan.
Namun sehingga kini, tiada tanda bahawa Tehran bersedia melepaskan kelebihan strategiknya tanpa jaminan keselamatan menyeluruh.
Iran menyatakan ia tidak akan melonggarkan kawalan terhadap laluan maritim itu selagi konflik berterusan, dengan beberapa sumber kerajaan menegaskan bahawa tekanan terhadap musuh akan diteruskan sehingga terdapat gencatan senjata penuh. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
