awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Krisis tenaga: Pelaksanaan Biodiesel B15 penyelesaian paling praktikal - PM Anwar
Tiada pelanggaran SOP dalam operasi iring banduan - Jabatan Penjara Malaysia
IMF semak naik unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia kepada 4.7 peratus bagi 2026
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Kos meningkat sepanjang rantaian nilai tenaga mengehadkan keuntungan Petronas

Bernama
Bernama
03/04/2026
14:01 MYT
Kos meningkat sepanjang rantaian nilai tenaga mengehadkan keuntungan Petronas
Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas terus menggalas tanggungjawab sebagai syarikat minyak nasional yang bukan sahaja berorientasikan keuntungan, tetapi turut memikul amanah bagi memastikan keselamatan tenaga negara. - Gambar Bernama
Lonjakan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat tidak semestinya membawa kepada keuntungan luar biasa memandangkan peningkatan kos turut berlaku merentasi keseluruhan rantaian nilai tenaga, menurut Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata persepsi bahawa Petronas “bermandikan keuntungan” apabila harga minyak mencecah sekitar US$120 setong (US$1 = RM4.02) adalah tidak tepat berikutan operasi syarikat merangkumi bukan sahaja sektor huluan, malah pertengahan dan hiliran.
“Pada mata kasar, mungkin terdapat keuntungan di sektor huluan, tetapi di bahagian pertengahan dan hiliran, kos input termasuk pembelian minyak mentah, penapisan dan pemprosesan turut meningkat dengan ketara apabila harga tenaga naik,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Beliau berkata peningkatan kos itu perlu diambil kira secara menyeluruh sekali gus mengimbangi impak kenaikan harga minyak terhadap prestasi kewangan kumpulan.
Pada masa sama, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas terus menggalas tanggungjawab sebagai syarikat minyak nasional yang bukan sahaja berorientasikan keuntungan, tetapi turut memikul amanah bagi memastikan keselamatan tenaga negara.
“Bekalan tenaga yang stabil adalah asas kepada kegiatan ekonomi dan kehidupan harian. Ini adalah amanah yang perlu kami penuhi,” katanya.
Menjawab persoalan mengapa Petronas tidak menanggung jumlah subsidi yang lebih besar bagi pihak kerajaan, beliau berkata syarikat telah memberikan sumbangan besar kepada negara sejak penubuhannya pada 1974, dengan jumlah keseluruhan mencecah kira-kira RM1.6 trilion dalam bentuk dividen, cukai, bayaran petroleum dan hasil eksport.
“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sahaja, Petronas menyumbang lebih 20 peratus kepada hasil kerajaan selain menyalurkan hampir separuh daripada keuntungan selepas cukai sebagai dividen kepada kerajaan.
“Petronas tetap sebuah entiti komersial manakala mekanisme subsidi melibatkan pertimbangan lebih luas di peringkat kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Muhammad Taufik mengakui cabaran semasa turut melibatkan gangguan bekalan global, yang menyebabkan kos import, pemprosesan dan logistik meningkat.
“Ada keadaan di mana isu bukan sekadar harga, tetapi juga ketersediaan bekalan. Jika bekalan tidak sampai, kos menjadi lebih tinggi dan beban kepada kerajaan turut meningkat.
“Kita juga telah melaksanakan pelbagai langkah dalaman bagi meningkatkan kecekapan operasi, termasuk mengurangkan perbelanjaan tidak kritikal, perjalanan tidak perlu mungkin telah dibatalkan, mengoptimumkan penggunaan tenaga serta memanfaatkan analitik data dalam perancangan penyelenggaraan dan logistik,” katanya.
Beliau berkata langkah-langkah ini penting untuk memastikan syarikat kekal berdaya tahan dalam persekitaran kos tinggi di samping menjadi contoh kepada industri dalam pengurusan tenaga secara bertanggungjawab.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Petronas
#harga minyak
#keselamatan tenaga
#sektor huluan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan