'Masa mesyuarat dengan PM, MB Terengganu tak tanya soalan' - Fahmi kesal Hadi persoal harga minyak

Fahmi kesal kerana isu itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat khas bersama Perdana Menteri sebelum ini, hanya Menteri Besar Kedah mengemukakan pertanyaan manakala wakil negeri pembangkang lain tidak mengambil peluang mendapatkan penjelasan. - Gambar fail/
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil kesal dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa tiada keperluan Malaysia menaikkan harga minyak.
Fahmi berkata, kenyataan itu tidak selari dengan keadaan sebenar pasaran tenaga global ketika ini, yang turut memberi kesan kepada banyak negara.
“Saya tak pasti sama ada beliau diberikan maklumat yang tepat. Sebagai contoh, harga diesel di Thailand sekarang jauh lebih tinggi daripada harga diesel dalam negara kita.
"Tidak ada negara... termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) pun terpaksa menaikkan harga minyak dalam negara mereka. Tidak ada negara di dunia yang kerajaannya atau pasaran tidak menaikkan harga,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, di sini, pada Rabu.
Pada Rabu, Abdul Hadi dalam kenyataan Minda Presiden mendakwa, tiada alasan kukuh menaikkan harga minyak kerana Malaysia bukan negara yang terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.
Menurut Abdul Hadi, alasan geopolitik yang digunakan kerajaan tidak munasabah memandangkan Malaysia ada sumber minyak dan gas sendiri serta menjalin hubungan dengan negara Islam yang kaya sumber tenaga.
Mengulas kenyataan itu, Fahmi berkata, beliau bertambah kesal apabila perkara berkenaan sebelum ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Perdana Menteri bersama Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier Sarawak.
Katanya, ia turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, namun isu itu tidak dibangkitkan dan hanya Menteri Besar Kedah mengemukakan pertanyaan, manakala wakil negeri pembangkang lain tidak mengambil peluang mendapatkan penjelasan.
“Maka ruang dan peluang untuk Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Hadi untuk bertanyakan soalan ini sebenarnya telah diberikan sepenuhnya oleh Perdana Menteri melalui wakilnya Menteri Besar Terengganu.
“Jadi saya kesal mungkin sepatutnya Yang Berhormat Marang meminta Menteri Besar Terengganu membawa soalan ini dalam mesyuarat khas bersama Perdana Menteri, malangnya itu tidak berlaku dan saya adalah saksi hidup," katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

