Sektor perbankan kekal kukuh meskipun pinjaman terjejas kasar dijangka meningkat akhir 2026

Setakat Februari 2026, GIL sektor perbankan meningkat RM1.35 bilion atau 4.2 peratus daripada RM32.3 bilion pada akhir Disember 2025 kepada RM33.6 bilion. - Gambar hiasan
CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd mengunjurkan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sektor perbankan pada akhir 2026 meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada julat 1.4 hingga 1.5 peratus.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu tidak terlalu bimbang dengan peningkatan tersebut berikutan bank mempunyai lapisan pengurusan sebanyak RM4.33 bilion pada akhir Disember 2025, yang mampu menyerap kenaikan GIL.
“Setiap peningkatan 10 peratus dalam GIL dijangka mengurangkan keuntungan bersih sektor sebanyak tiga peratus, tetapi lapisan pengurusan sedia ada cukup untuk menampung kenaikan GIL sehingga 37.8 peratus,” katanya dalam satu nota.
CGS International berkata kebanyakan bank telah berhubung dengan peminjam dan menawarkan bantuan bayaran balik kepada mereka yang terkesan akibat inflasi tinggi susulan kenaikan harga minyak.
“Oleh itu, langkah ini dijangka dapat mengehadkan peningkatan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bagi unjuran 2026,” katanya.
Menurut firma penyelidikan itu, setakat Februari 2026, GIL sektor perbankan meningkat RM1.35 bilion atau 4.2 peratus daripada RM32.3 bilion pada akhir Disember 2025 kepada RM33.6 bilion.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh pinjaman modal kerja sebanyak 34.9 peratus, pinjaman perumahan (25.2 peratus) dan pinjaman peribadi (18.4 peratus).
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd mengekalkan pendekatan berhati-hati terhadap kos kredit, meskipun kedudukan modal sektor perbankan kukuh.
Bank itu berkata walaupun lapisan pengurusan mencukupi untuk menyerap volatiliti jangka pendek, peruntukan tambahan tidak boleh diketepikan bagi memastikan ketahanan neraca kewangan.
Ia berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin berdepan pemampatan margin berikutan kuasa penetapan harga yang terhad di tengah kos yang meningkat.
“Dalam konteks ini, bank yang mempunyai pendedahan lebih tinggi kepada korporat besar, iaitu Maybank, CIMB, AmBank dan RHB, berada pada kedudukan lebih baik untuk menunjukkan ketahanan pendapatan,” katanya.
Selain itu, kedua-dua CGS International dan HLIB mengekalkan pendirian ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor perbankan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

