Warga asing salah guna pas lawatan sosial buka chalet di Sabah

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kementerian Dalam Negeri akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk kemungkinan penglibatan ejen pelancongan bagi mencari punca dan pelaku sebenar. -Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, segelintir warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial (PLS) dikesan mengusahakan chalet di pulau-pulau sekitar Semporna serta kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Jelasnya, warga asing terbabit menggunakan rakan kongsi tempatan untuk membuka perniagaan sebelum mereka sendiri mengusahakannya.
"Hasil operasi bersama ESSCOM mendapati terdapat hingga 81 unit chalet diusahakan oleh warga asing. Ini sudah tentu menjejaskan usahawan tempatan yang mematuhi undang-undang.
"Warga asing berkenaan mungkin bertindak sebagai pemodal, namun mereka tetap tertakluk kepada keperluan memohon pas yang sah untuk menjalankan perniagaan.
"Jika masuk sebagai pelancong tetapi berniaga, itu menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil," ujar Saifuddin dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN, di sini, pada Khamis.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diminta lebih peka terhadap pembangunan di kawasan masing-masing bagi mengesan sebarang eksploitasi oleh warga asing menyalahgunakan PLS.
Pihak KDN akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk kemungkinan penglibatan ejen pelancongan bagi mencari punca dan pelaku sebenar.
Selain sektor pelancongan, KDN turut mengenal pasti penglibatan warga asing dalam sektor hiasan dalaman, restoran, serta industri perabot.
Seramai 54,791 warga asing telah diambil tindakan penguatkuasaan dari tahun 2025 hingga pertengahan Januari tahun ini kerana menyalahgunakan PLS bagi tujuan bekerja di Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

