Zara Qairina tidak sedarkan diri namun masih bernafas ketika perjalanan ke hospital

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya. - Gambar fail
Seorang penolong pegawai perubatan memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri namun masih bernafas secara normal.
Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kinarut, Mohd Faiszal Md Saimi, yang merupakan petugas perubatan pertama tiba di lokasi, berkata mangsa didapati tidak sedarkan diri dengan bacaan Skala Koma Glasgow (GCS) 3/15, yang lazimnya dikaitkan dengan kecederaan otak serius.
Beliau berkata meskipun bacaan GCS mangsa sangat rendah, tanda vital termasuk tekanan darah, kadar nadi, kadar pernafasan serta bacaan oksigen kekal dalam julat normal ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Semasa dalam ambulans, saya terus memeriksa tekanan darah, bacaan oksigen, bacaan nadi dan kadar pernafasan pelajar perempuan tersebut menggunakan mesin.
“Pada ketika itu, tekanan darah menunjukkan bacaan 108/83 mmHg (normal), kadar nadi 82 per minit (normal), kadar pernafasan 20 per minit (normal) dan bacaan oksigen 98 peratus dalam udara bilik (normal),” katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Saksi ke-69 yang berusia 40 tahun itu berkata beliau menerima panggilan kecemasan pada 3.23 pagi mengenai seorang pelajar terjatuh di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Kinarut sebelum bergegas ke lokasi bersama rakan sekerja menaiki ambulans.
Setibanya di lokasi sekitar 3.45 pagi, beliau mendapati mangsa terbaring di atas lantai simen di tepi bangunan asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mohd Faiszal berkata mangsa kemudian diberikan rawatan awal termasuk pemasangan kolar servikal, bantuan oksigen serta rawatan sokongan lain sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas, termasuk terhadap rangsangan cahaya pada mata, selain tidak mengeluarkan sebarang suara atau bunyi serta tidak memberi respons terhadap rangsangan sakit ketika ujian trapezius squeeze dilakukan pada bahu kiri.
Beliau turut memaklumkan tidak memberikan sebarang ubat-ubatan kepada mangsa sepanjang rawatan kecemasan awal, termasuk ubat antikonvulsan seperti Phenytoin.
Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa ujian makmal susulan bedah siasat mengesan kehadiran ubat antikonvulsan, Phenytoin, dalam tisu buah pinggang mangsa.
Ketika ditanya oleh pasukan peguam mewakili ibu mangsa yang diketuai Shahlan Jufri mengenai ubat Phenytoin, Mohd Faiszal berkata ubat itu dikategorikan sebagai Kumpulan B yang hanya boleh diberikan dengan kebenaran pegawai perubatan.
Beliau berkata Phenytoin lazimnya digunakan sebagai pilihan rawatan bagi kes sawan yang tidak dapat dikawal dengan ubat pertama seperti Diazepam.
“Tetapi untuk kes-kes sawan, pilihan pertama adalah Diazepam. Phenytoin adalah pilihan ubat yang terakhir untuk kes-kes sawan yang tidak dapat dikawal,” katanya.
Beliau berkata ubat berkenaan boleh didapati dalam bentuk tablet, kapsul atau suntikan, namun bagi orang awam, ia hanya boleh diperoleh di farmasi dengan preskripsi daripada doktor atau pegawai perubatan.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya, kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Prosiding inkues bersambung Khamis (16 April).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

